Monday, October 11, 2010

Dato' Raja Nong Chik dapatkan sumbangan RM6.5 juta untuk baik pulih 59 flat di Taman Seri Sentosa



KUALA LUMPUR 10 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM6.5 juta untuk kerja-kerja membaik pulih 59 blok flat di tiga kawasan sekitar Parlimen Lembah Pantai di ibu kota.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu adalah bagi kerja mengecat 59 buah blok di Taman Seri Sentosa, Taman Sri Pinang dan Taman Ria AC4 di Jalan Klang Lama serta usaha menggantikan empat buah lif dan membaiki lif-lif lain di penempatan tersebut.

Jelas Najib, kesemua usaha baik pulih itu akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyerahkan laporan kemajuan projek tersebut terus kepada beliau dua kali sebulan sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

Katanya, usaha baik itu perlu dilaksanakan demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk pelbagai kaum yang telah tinggal di situ sejak lebih 20 tahun lalu.

"Saya mendengar keluhan dan rintihan masyarakat di Taman Seri Sentosa, Taman Seri Pinang dan Taman Ria, yang di mana kawasan ini adalah kawasan pemindahan banjir. Alhamdulillah, kawasan ini tidak lagi dilanda banjir.

"Jadi, saya harap kawasan ini akan kekal sebagai satu model (penempatan) komuniti 1Malaysia yang boleh kita banggakan," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai di sini.

Lebih 22,000 penduduk kawasan sekitar hadir ke majlis rumah terbuka yang berlangsung dari 10 pagi hingga 4 petang tersebut.

Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merangkap Pengerusi BN Lembah Pantai serta beberapa pemimpin komponen BN Pusat dan dari kawasan berkenaan.

Sementara itu, Raja Nong Chik dalam ucapannya memberitahu, beliau telah banyak menerima aduan daripada penduduk di situ mengenai keadaan blok perumahan mereka yang kelihatan usang akibat tidak pernah dicat semula selepas dibina lebih 20 tahun lalu.

Pada majlis tersebut, Najib turut mengadakan kunjungan mesra ke atas tiga keluarga penduduk di situ serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mereka.

Selepas Perdana Menteri beredar untuk jadual beliau seterusnya, Raja Nong Chik kemudiannya menyampaikan sumbangan kepada 60 penduduk Lembah Pantai yang akan menunaikan ibadat haji musim ini.

Selain sumbangan dalam bentuk peralatan mengerjakan haji dan wang tunai, para penerima berkenaan turut didaftarkan secara automatik sebagai penerima Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan.

Skim yang boleh disertai oleh warga ibu kota dengan bayaran minimum RM5 itu membolehkan peserta mendapatkan RM2,500 dalam bentuk khairat kematian.

No comments:

Post a Comment